Wednesday 8 April 2015

Pengalaman Mendewasakan Kita, Mula daripada KANAK-KANAK!

Teks: Fasya Fazida (fasya-fazida.blogspot.com)
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Merencana sesebuah kisah kanak-kanak, bagi sesetengah orang memang mudah dan bagi sesetengah golongan lain memang agak sukar. Ternyata ada benarnya. Bagi mereka yang sudah biasa menulis artikel atau cerita kemasyarakatan atau cerpen / novel orang dewasa, memang mudah untuk mengarang novel kemasyarakatan atau novel cinta. Tetapi, ada sesetengah orang sukar mengarang kisah orang dewasa. Bagi mereka yang sudah biasa mengarang cerita kanak-kanak pula, memang tiada masalah. Angkat saja satu kisah, lalu mereka terus saja menekan papan kekunci dengan laju sekali. Lima belas minit sudah siap satu cerita pendek!
Namun, tidak dinafikan ada sesetengah penulis mampu menjadi pengarang novel dewasa mahupun kanak-kanak. Anugerah Allah SWT! Syukur dengan kurniaan-Nya. Tidak bermakna kita tiada bakat, kita tidak perlu belajar. Tanggapan itu kurang tepat. Itu juga kita perlu belajar kerana ianya bukan mustahil dengan izin Allah SWT. Ingatlah bahawa hidup kita tidak pernah terhenti untuk belajar.
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
3)MENULIS DARIPADA PENGALAMAN ORANG LAIN
Dalam kehidupan seharian, tentunya anda akan bercerita dengan rakan-rakan ketika waktu makan tengah hari. Malah, ketika anda sedang melayari internet, ada rakan anda yang ‘post’ kisah anak atau anak buah mereka. Lalu, kisah yang secebis itu anda boleh olah watak dan jalan cerita untuk menghasilkan satu kisah. Anda sudah nampak kini? Mudah atau tidak mendapatkan idea?
Ada ketika anda berbual dengan rakan, dan rakan lain pula menceritakan kisah mengenai anak kepada kawannya sukar berkongsi makanan atau mainan dengan rakan sebayanya. Atau gemar bersendirian. Akibatnya, anak rakan tersebut kurang digemari dan tiada rakan ingin berkawan dengannya. Jadi, daripada kisah yang anda peroleh ini, anda bukan sahaja berkongsi cerita melalui lisan sesama anda sahaja, malah anda boleh berkongsi penulisan dan menulis pengajarannya lalu berkongsi cerita dengan ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang menjadi pembaca buku anda.

No comments:

Post a Comment