Wednesday 8 April 2015

Kisah Pengajaran Pasti Jadi Pilihan

Teks: Fasya Fazida (fasya-fazida.blogspot.com)
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Menelusuri kehidupan sebagai ibu bapa memang menggembirakan. Menjaga amanah Allah SWT bukan calang-calang tugasan. Manakan tidaknya, mereka yang dilahirkan ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya, sama ada hitam ataupun putih. Segala-galanya bergantung kepada kita.
Setiap perbuatan, kita perlu menasihati. Begitu juga sebagai abang atau kakak yang telah dewasa. Kita berhak membantu ibu bapa untuk menasihati adik-adik yang masih kecil. Setiap perbuatan, tentu ada kebaikan dan keburukan. Daripada situ, kita boleh mengolah cerita.
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
4)MENULIS PERKARA YANG BOLEH DIJADIKAN PENGAJARAN / MORAL
Kisah teladan kanak-kanak yang sering dibukukan menjadi tarikan kanak-kanak dan ibu bapa. Sememangnya buku yang mempunyai nilai murni, pengajaran dan moral di sebalik cerita sering juga menjadi pilihan. Usai bercerita pada anak-anak, ataupun anak-anak sendiri yang membaca, pastinya terselit pengajaran di akhir penceritaan. Adakala, kita perlu akui bahawa kanak-kanak kadang-kadang kurang mempercayai nasihat ibu bapa atau guru, tetapi akan mempercayai kisah teladan daripada buku cerita yang dibaca. Mungkin kerana gambaran ilustrasinya ataupun cara pengolahan cerita oleh penulis itu sendiri yang menarik hati kanak-kanak untuk mengikut ajarannya.
Jadi, anda bolehlah mencuba menulis buku kanak-kanak yang sebegini. Banyak kisah pengajaran atau moral yang boleh dijadikan panduan. Sebagai contoh; kisah demam denggi yang berleluasa kini. Dapatkan informasi sebanyak mungkin mengenai gejala demam denggi. Kemudian, olah menjadi sebuah kisah mengenai 3 sahabat. Kemudian, salah seorang tidak hadir ke sekolah lebih 3 hari. Rupa-rupanya dijangkiti demam dengggi. Kemudian, guru di sekolah pun ada membuat kempen mengenai kesedaran nyamuk aedes dan tempat pembiakannya. Mereka bergotong-royong di sekolah membersihkan tempat takungan air. Kawan-kawan pula menziarahi rakan mereka yang sakit. Rakan yang sakit mula bercerita bagaimana simptom demam denggi yang bermula dengan demam berlarutan dan muncul bintik-bintik merah. Jika buku cerita pendek, lebih menarik jika ada ilustrasi. Jika tidak, penceritaan perlu lebih terang dan jelas agar kanak-kanak dapat memahami lalu membayangkannya. Lihat, sudahkah anda mendapat idea jalan penceritaan yang anda mahu hasilkan untuk buku cerita kanak-kanak anda?
Dunia ini amat luas, maka pandanglah dengan pandangan yang luas.

Pengalaman Mendewasakan Kita, Mula daripada KANAK-KANAK!

Teks: Fasya Fazida (fasya-fazida.blogspot.com)
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Merencana sesebuah kisah kanak-kanak, bagi sesetengah orang memang mudah dan bagi sesetengah golongan lain memang agak sukar. Ternyata ada benarnya. Bagi mereka yang sudah biasa menulis artikel atau cerita kemasyarakatan atau cerpen / novel orang dewasa, memang mudah untuk mengarang novel kemasyarakatan atau novel cinta. Tetapi, ada sesetengah orang sukar mengarang kisah orang dewasa. Bagi mereka yang sudah biasa mengarang cerita kanak-kanak pula, memang tiada masalah. Angkat saja satu kisah, lalu mereka terus saja menekan papan kekunci dengan laju sekali. Lima belas minit sudah siap satu cerita pendek!
Namun, tidak dinafikan ada sesetengah penulis mampu menjadi pengarang novel dewasa mahupun kanak-kanak. Anugerah Allah SWT! Syukur dengan kurniaan-Nya. Tidak bermakna kita tiada bakat, kita tidak perlu belajar. Tanggapan itu kurang tepat. Itu juga kita perlu belajar kerana ianya bukan mustahil dengan izin Allah SWT. Ingatlah bahawa hidup kita tidak pernah terhenti untuk belajar.
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
3)MENULIS DARIPADA PENGALAMAN ORANG LAIN
Dalam kehidupan seharian, tentunya anda akan bercerita dengan rakan-rakan ketika waktu makan tengah hari. Malah, ketika anda sedang melayari internet, ada rakan anda yang ‘post’ kisah anak atau anak buah mereka. Lalu, kisah yang secebis itu anda boleh olah watak dan jalan cerita untuk menghasilkan satu kisah. Anda sudah nampak kini? Mudah atau tidak mendapatkan idea?
Ada ketika anda berbual dengan rakan, dan rakan lain pula menceritakan kisah mengenai anak kepada kawannya sukar berkongsi makanan atau mainan dengan rakan sebayanya. Atau gemar bersendirian. Akibatnya, anak rakan tersebut kurang digemari dan tiada rakan ingin berkawan dengannya. Jadi, daripada kisah yang anda peroleh ini, anda bukan sahaja berkongsi cerita melalui lisan sesama anda sahaja, malah anda boleh berkongsi penulisan dan menulis pengajarannya lalu berkongsi cerita dengan ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang menjadi pembaca buku anda.

Ceritera Anak-anak Jadi Panduan

Teks: Fasya Fazida
fasya-fazida.blogspot.com
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Hari ini, mendepani anak-anak dengan satu kisah menarik. Seperti biasa, apabila saya mengambil Ayrinn pulang dari transit, mulutnya bagai bertih goreng. Sebenarnya bukan Ayrinn sahaja, malah abangnya Adam dan adiknya Ayraa juga becok bercerita. Seronok saya melayannya. Sebabnya, saya memang mengamalkan setiap hari menghantar atau pulang ke rumah, saya akan menghabiskan masa bertanya aktiviti di sekolah, rakan-rakan dan juga apa yang mereka lalui hari ini. Jadi, mereka akan bercerita apa sahaja sampai terpaksa berebut.
Namun, saya ajar mereka agar menunggu sesiapa yang bercakap menghabiskan cerita terlebih dahulu, baru boleh bercerita. Ataupun jika ingin mencelah akibat salah seorang bercerita terlalu lama, perlu meminta izin, “Boleh tak Ayrinn nak cerita pula?” Jadi, semua akan berlaku adil dan saksama dan tiada hati anak-anak yang terluka.
Anak-anak (kanak-kanak kecil dan lembut hatinya. Jadi, kita perlu jaga sebaik mungkin agar mereka akan saling sayang-menyayangi antara adik-beradik dan ahli keluarga lain)
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
2)MENULIS MELALUI KISAH ANAK-ANAK
Kata Ayrinn, 6 tahun, balik sekolah, menuruni tangga, ramai kanak-kanak berebut-rebut untuk turun. Cerita Ayrinn, dia ingin menuruni tangga sekolah. Namun ramai kawan-kawan yang berebut-rebut. Jadi, untuk mengelakkan terjatuh dan adegan tolak-menolak di tangga, dia tunggu dahulu. Apabila kawan-kawan mulai berkurangan, baru dia turun. Tetapi, dalam pada itu, ada juga seorang rakan yang menolaknya dari belakang. Dia sedikit marah apabila bercerita kerana katanya dia kasihan. Di depannya ada seorang budak lelaki umur 5 tahun. Mujur tidak jatuh adik tu, katanya.
Sedikit sebanyak, kisah anak-anak ini boleh dijadikan cerita di dalam karya anda. Masukkan unsur kisah, masalah, dan penyelesaian. Dalam cerita anda, boleh masukkan perenggan guru menasihati anak murid supaya jangan tolak-menolak semasa turun tangga, perlu beratur dan turun di sebelah kiri misalnya agar nampak lebih berdisiplin. Secara tak langsung, kanak-kanak yang membaca boleh menjadikannya pengajaran dan pengetahuan.

Tuesday 7 April 2015

1 Hari 1 Cerita

Teks: Fasya Fazida (fasya-fazida.blogspot.com)
Foto: Koleksi Peribadi
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
1 Hari 1 Cerita
Selain BENTO bersama dengan karya projek #100BUKU PRIMA, tahun ini juga, pada Mac 2015 lalu, terbit juga 3 karya yang disatukan bersama empat lagi rakan lain di dalam satu naskah. Alhamdulillah, syukur karya ini berjaya diterbitkan, didedikasikan khas buat anak-anak saya yang sering bertanya, bila buku mama akan keluar? Mama, buku mama tulis ke ni? (walhal saya membawa balik karya orang lain). Jadi, itu yang membuatkan semangat saya semakin membuak-buak untuk menghasilkan karya sendiri.
Mendapat idea daripada pengamatan sekeliling dan juga isu semasa, akhirnya tiga kisah berjaya saya hasilkan. Ia merupakan cerita pendek. Muka surat yang berwarna-warni dan menarik bacaannya untuk murid-murid sekolah rendah.
Saya ada hadiahkan buku ini kepada anak-anak saudara saya, yang bersekolah rendah. Harap mereka 'enjoy' dan mendapat pengajaran daripadanya. Jika anda ingin mendapatkannya,bolehlah membeli terus di Karangkraf Mall (kedai buku di dalam premis Karangkraf sendiri) atau secara atas talian di E mall Karangkraf.

Pengalaman Boleh Jadi Satu Cerita

Teks: Fasya Fazida
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Setiap hari kita berdepan dengan kanak-kanak ataupun anak-anak bagi yang telah memiliki anugerah Allah ini. Lalu, bagaimana kita berinteraksi dengan mereka? Bagi yang remaja, sudah tentu berdepan dengan adik-adik mahupun anak buah. Bagi ibu bapa, tentunya berdepan dengan anak-anak. Bagi golongan pendidik pula, tentunya berdepan dengan anak murid. Nah, tentunya anda semua melalui pelbagai pengalaman berdepan dengan mereka sehari-hari. Pastinya banyak cerita yang tersangkut dalam kotak memori anda. Ye! Inilah salah satu daripada tip atau panduan untuk menulis buku kanak-kanak.
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
1)MENULIS MELALUI PENGALAMAN
Kisah hidup kita seharian bersama kanak-kanak boleh kita jadikan idea untuk menulis buku kanak-kanak. Kadangkala kita merasakan kisah itu ‘simple’, ringkas sahaja, namun itulah kisah sebenar penceritaan yang kita boleh jadikan perenggan demi perenggan dan akhirnya terhasillah sebuah naskah buku kanak-kanak. Mudah, kan?
Sebagai contoh; anda melihat situasi di kantin sekolah. Seorang kanak-kanak membawa bekal ke sekolah. Manakala rakan-rakannya yang lain begitu teruja apabila bekal yang dibawa itu begitu menarik sekali hiasannya. Nasi yang dibentuk melalui acuan dan diletak rumpai laut membentuk mata dan mulut. Manakala telur diletakkan lobak merak membentuk paruh seperti anak ayam. Memang comel, kan?
Itulah cara untuk mendidik anak-anak membawa bekal yang dimasak sendiri oleh ibu ke sekolah. Apabila terlihat bekal yang menarik itu, ada antara kanak-kanak yang memang tidak gemar membawa bekal ke sekolah, akhirnya meminta ibunya membuatkannya bekal ke sekolah. Melalui kisah ini, penulis lalu boleh menghasilkan sebuah karya pendek berjudul BENTO. Di bawah ini merupakan karya Fasya Fazida berjudul BENTO – untuk Projek #100buku di bawah penerbitan Buku Prima. Nah, mudah bukan? Anda juga boleh lakukannya.





Berminat untuk mendapatkan 100 judul siri buku kanak-kanak untuk Bed Time Story anak-anak? Layari Karangkraf Mall untuk mendapatkan belian secara online. http://mall.karangkraf.com/categories/Projek-100-buku/1570