Wednesday 8 April 2015

Kisah Pengajaran Pasti Jadi Pilihan

Teks: Fasya Fazida (fasya-fazida.blogspot.com)
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Menelusuri kehidupan sebagai ibu bapa memang menggembirakan. Menjaga amanah Allah SWT bukan calang-calang tugasan. Manakan tidaknya, mereka yang dilahirkan ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya, sama ada hitam ataupun putih. Segala-galanya bergantung kepada kita.
Setiap perbuatan, kita perlu menasihati. Begitu juga sebagai abang atau kakak yang telah dewasa. Kita berhak membantu ibu bapa untuk menasihati adik-adik yang masih kecil. Setiap perbuatan, tentu ada kebaikan dan keburukan. Daripada situ, kita boleh mengolah cerita.
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
4)MENULIS PERKARA YANG BOLEH DIJADIKAN PENGAJARAN / MORAL
Kisah teladan kanak-kanak yang sering dibukukan menjadi tarikan kanak-kanak dan ibu bapa. Sememangnya buku yang mempunyai nilai murni, pengajaran dan moral di sebalik cerita sering juga menjadi pilihan. Usai bercerita pada anak-anak, ataupun anak-anak sendiri yang membaca, pastinya terselit pengajaran di akhir penceritaan. Adakala, kita perlu akui bahawa kanak-kanak kadang-kadang kurang mempercayai nasihat ibu bapa atau guru, tetapi akan mempercayai kisah teladan daripada buku cerita yang dibaca. Mungkin kerana gambaran ilustrasinya ataupun cara pengolahan cerita oleh penulis itu sendiri yang menarik hati kanak-kanak untuk mengikut ajarannya.
Jadi, anda bolehlah mencuba menulis buku kanak-kanak yang sebegini. Banyak kisah pengajaran atau moral yang boleh dijadikan panduan. Sebagai contoh; kisah demam denggi yang berleluasa kini. Dapatkan informasi sebanyak mungkin mengenai gejala demam denggi. Kemudian, olah menjadi sebuah kisah mengenai 3 sahabat. Kemudian, salah seorang tidak hadir ke sekolah lebih 3 hari. Rupa-rupanya dijangkiti demam dengggi. Kemudian, guru di sekolah pun ada membuat kempen mengenai kesedaran nyamuk aedes dan tempat pembiakannya. Mereka bergotong-royong di sekolah membersihkan tempat takungan air. Kawan-kawan pula menziarahi rakan mereka yang sakit. Rakan yang sakit mula bercerita bagaimana simptom demam denggi yang bermula dengan demam berlarutan dan muncul bintik-bintik merah. Jika buku cerita pendek, lebih menarik jika ada ilustrasi. Jika tidak, penceritaan perlu lebih terang dan jelas agar kanak-kanak dapat memahami lalu membayangkannya. Lihat, sudahkah anda mendapat idea jalan penceritaan yang anda mahu hasilkan untuk buku cerita kanak-kanak anda?
Dunia ini amat luas, maka pandanglah dengan pandangan yang luas.

No comments:

Post a Comment