Teks: Fasya Fazida
fasya-fazida.blogspot.com
Foto: Samsung (Koleksi Peribadi)
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Hari ini, mendepani anak-anak dengan satu kisah menarik. Seperti biasa, apabila saya mengambil Ayrinn pulang dari transit, mulutnya bagai bertih goreng. Sebenarnya bukan Ayrinn sahaja, malah abangnya Adam dan adiknya Ayraa juga becok bercerita. Seronok saya melayannya. Sebabnya, saya memang mengamalkan setiap hari menghantar atau pulang ke rumah, saya akan menghabiskan masa bertanya aktiviti di sekolah, rakan-rakan dan juga apa yang mereka lalui hari ini. Jadi, mereka akan bercerita apa sahaja sampai terpaksa berebut.
Namun, saya ajar mereka agar menunggu sesiapa yang bercakap menghabiskan cerita terlebih dahulu, baru boleh bercerita. Ataupun jika ingin mencelah akibat salah seorang bercerita terlalu lama, perlu meminta izin, “Boleh tak Ayrinn nak cerita pula?” Jadi, semua akan berlaku adil dan saksama dan tiada hati anak-anak yang terluka.
Anak-anak (kanak-kanak kecil dan lembut hatinya. Jadi, kita perlu jaga sebaik mungkin agar mereka akan saling sayang-menyayangi antara adik-beradik dan ahli keluarga lain)
{Tip / Panduan Menulis Buku Kanak-kanak}
2)MENULIS MELALUI KISAH ANAK-ANAK
Kata Ayrinn, 6 tahun, balik sekolah, menuruni tangga, ramai kanak-kanak berebut-rebut untuk turun. Cerita Ayrinn, dia ingin menuruni tangga sekolah. Namun ramai kawan-kawan yang berebut-rebut. Jadi, untuk mengelakkan terjatuh dan adegan tolak-menolak di tangga, dia tunggu dahulu. Apabila kawan-kawan mulai berkurangan, baru dia turun. Tetapi, dalam pada itu, ada juga seorang rakan yang menolaknya dari belakang. Dia sedikit marah apabila bercerita kerana katanya dia kasihan. Di depannya ada seorang budak lelaki umur 5 tahun. Mujur tidak jatuh adik tu, katanya.
Sedikit sebanyak, kisah anak-anak ini boleh dijadikan cerita di dalam karya anda. Masukkan unsur kisah, masalah, dan penyelesaian. Dalam cerita anda, boleh masukkan perenggan guru menasihati anak murid supaya jangan tolak-menolak semasa turun tangga, perlu beratur dan turun di sebelah kiri misalnya agar nampak lebih berdisiplin. Secara tak langsung, kanak-kanak yang membaca boleh menjadikannya pengajaran dan pengetahuan.